utama

'Saya masih sayang isteri'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SAYA masih sayangkan isteri dan mahu hidup bersamanya selain turut bertanggungjawab ke atas anak dalam perutnya.

“Saya juga mengakui kesilapan diri kerana meninggalkan isteri dan memohon maaf atas perbuatan saya terhadapnya selama ini,” kata bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25.

Mahkamah Rendah Syariah di sini juga memutuskan lafaz talaknya yang lebih dikenali sebagai PU Abu ke atas isterinya, Ain ‘Afini Latif, 23, menerusi aplikasi WhatsApp tidak sah.

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Tohar membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersumpah Muhammad Abu Sufyan yang menyatakan dia tidak berniat untuk bercerai ketika menghantar pesanan mesej berkenaan pada 13 Mac lalu.

Muhammad Abu Sufyan memberitahu mahkamah dia sejujurnya tiada mempunyai niat secara total untuk bercerai dan faktor keadaan memaksanya berbuat demikian.

“Saya menaip (mesej WhatsApp) sambil membacanya dalam hati namun tidak melafazkannya.

“Ia rentetan daripada kronologi yang panjang dan tiada lafaz lain dibuat selain daripada itu.

“Saya tidak pernah langsung berniat untuk menceraikan isteri saya dan sanggup bersumpah tiada niat berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ain ‘Afini yang berpurdah dan sarat mengandung memberitahu mahkamah mereka yang bernikah hujung Ogos tahun lalu berselisihan faham dan bercerai talak satu dengan kebenaran mahkamah pada 28 Januari lalu.

“Pada jam 11.44 pagi 13 Mac lalu, lafaz cerai diterima menerusi pesanan WhatsApp daripada suami yang meninggalkan saya di rumah selama seminggu.

“Saya turut menerima mesej daripada dia yang meminta supaya memudahkan semuanya dan mengisi borang perceraian,” katanya yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya semalam.

Dalam prosiding sama, Mohd Nurulazhar turut memerintahkan pasangan itu mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz berkenaan sah.

Beliau dalam penghakimannya menegur Muhammad Abu Sufyan supaya menjalankan tanggungjawab sebagai suami iaitu menjaga isteri dan anak dalam kandungan wanita itu.

“Jangan bersikap ‘lepas tangan’ dan semua hal seharusnya diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ain ‘Afni yang dijangka melahirkan bayinya pada 10 Julai depan itu dilihat menangis teresak-esak sejurus prosiding selesai sambil ditenangkan beberapa ahli keluarganya.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan reaksi Muhammad Abu Sufyan juga gagal kerana enggan ditemu bual lanjut dan beredar dari mahkamah berkenaan.

Bulan lalu, Harian Metro melaporkan dalam perkongsian menerusi Instagram (IG) Ain, talak itu dilafazkan Abu menerusi WhatsApp kerana tidak bersetuju dengan permintaan untuk berpoligami.

Abu kemudian membuat permohonan maaf menerusi IG atas tindakannya itu untuk berkahwin dengan seorang wanita.

Beliau yang juga pendakwah dan penceramah bebas turut memohon maaf kepada keluarga mentuanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 6:15am
d